Wednesday 4 January 2012

10 Panduan Berjimat Cermat Untuk Pelajar Kampus


Terima kasih kerana sudi menjengah blog ini dan apa yang saya ingin kongsikan ini adalah hasil dari pembacaan dari surat khabar Berita Harian bertarikh 20 December 2011 bersamaan hari Selasa. Panduan ini juga diperolehi dari Securities Industry Developement (SIDC), bahagian pendidikan dan pembangunan bagi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Baiklah...sebagai seorang pelajar kampus dah tentulah tugasnya adalah mengulangkaji dan menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh tenaga pengajar ataupun pensyarah. Bukan itu sahaja soal menguruskan wang juga perlu dititik beratkan agar dapat menjalani hidup sebagai seorang pelajar dengan tenang dan aman. Konsepnya sama dengan mereka yang menjalani kehidupan bukan sebagai pelajar kampus cuma ada perbezaan sedikit yang perlu diikuti sebagai panduan. Diharap panduan-panduan ini dapat dipraktikkan mengikut keadaan kewangan anda selaku seorang pelajar.

Panduan 1 : Amalkan Peraturan 10 Peratus
Secara amnya peraturan 10 peratus bermakna anda perlu menyimpan 10 peratus daripada wang yang anda miliki setiap bulan. Contohnya, jika anda mempunyai RM500 setiap bulan, simpanlah RM50. Apabila menerima duit simpanan PTPTN, MARA, biasiswa atau elaun daripada ibu bapa setiap bulan, pastikan anda menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah yag diperolehi. Wang ini boleh dijadikan simpanan dan pelaburan anda pada masa hadapan. Amalan ini akan mendidik anda untuk menjadi lebih konsisten dan berdisiplin dalam menyimpan wang pada masa akan datang.

Panduan 2 : Wujudkan dana kecemasan
Sebagai pelajar, ada masanya anda akan berhadapan dengan kejadian yang tidak dijangka dan ia memerlukan perbelanjaan yang banyak. Sebagai contoh, anda boleh jatuh sakit dan perlu dibawa ke hospital, kenderaan atau komputer mungkin rosak dan perlu diperbaiki, serta isu-isu kewangan yang lain. Sekirannya anda tidak mempunyai dana kecemasan, anda pasti akan berdepan dengan pelbagai masalah. Namun, dengan adanya dana kecemasan, anda tidak perlu runsing dan berhutang dengan orang lain kerana anda mempunyai wang simpanan sendiri. Tetapi ingat: dana kecemasan harus digunakan untuk KECEMASAN SAHAJA!

Panduan 3 : Amalkan tabiat melabur
Menyimpan wang adalah tabiat yang baik tetapi anda perlu melaburkan wang tersebut agar mendapat lebih pulangan. Amalkan tabiat melabur secepat yang mungkin supaya anda boleh mendapat pulangan yang maksimum daripada pelaburan. Rebutlah peluang daripada kuasa pengkompaunan dengan melaburkan wang anda dalam produk pelaburan yang sesuai. Sebelum memulakan pelaburan, lakukan kaji selidik yang mencukupi dengan membaca prospektus, laporan kewangan dan laporan tahunan, majalah perniagaan dan lain-lain. Dalam memilih produk pelaburan yang paling sesuai dengan tahap risiko, matlamat kewangan dan bajet yang ada, anda perlu mengenali sedikit sebanyak tentang konsep pelaburan.

Panduan 4 : Buat perbandingan harga semasa membeli-belah
Dengan membandingkan harga dan mencari tawaran terbaik, anda mampu menjimatkan wang setiap kali membeli-belah. Membandingkan harga juga mengajar anda untuk menjadi lebih berhati-hati dan bersabar semasa membeli barang. Sebagai seorang pembeli yang bersabar dan berhati-hati, anda tidak akan terdorong oleh hawa nafsu ketika membeli, malah akan sentiasa berusaha mendapatkan nilai yang tebaik untuk wang anda!

Panduan 5 : Potong kad kredit anda
Kajian yang dilakukan Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati bahawa 50% rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis berusia 30 tahun ke bawah. Statistik ini antara lain menggambarkan bahawa pelajar kolej dan golongan dewasa yang baru mula bekerja mewakili 50% daripada rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap.Tidak kiralah jika anda memiliki kad kredit sendiri atau diberi kad kredit oleh ibu bapa, tanyalah diri sendiri : "Perlukah saya memiliki kad kredit ?" Ingat! Jadilah pengguna kad kredit yang bertanggungjawab kerana anda (atau ibu bapa anda) yang perlu membayar hutangnya nanti!

Panduan 6 : Kurangkan bil elektrik anda
Sedar atau tidak, tidak ramai yang mengambil berat isu penggunaan elektrik. Memasang lampu walaupun tiada orang di rumah merupakan suatu perkara lazim yang dipandang remeh walaupun ia merupakan satu pembaziran. Sebenarnya, apabila anda menjimat elektrik, anda juga menjimatkan wang. Antara perkara yang boleh dipraktikkan ialah mengekalkan kelajuan kipas pada tahap sederhana, menggunakan lampu jenis jimat tenaga serta mengurangkan tahap kecerahan skrin komputer.

Panduan 7 : Jadilah pelajar yang bijak
Sebagai pelajar yang bijak dalam pelajaran, abda juga perlu bijak berbelanja. Cetak tugasan anda dikedua-dua belah muka surat kertas, beli isian semula mesin pencetak dan bukannya kartrij pencetak, pinjam buku rujukan daripada pelajar senior/rakan/perpustakaan, sewa rumah bersama kawan-kawan dan makanlah di kampus. Secara amnya, perkhidmatan dan kemudahan di kampus seperti sewa asrama, fotokopi dan lain-lainnya adalah lebih murah, jadi ambillah kesempatan ini! Lebih elok lagi, kumpulkan kawan-kawan anda dan carilah peluang mendapatkan diskaun apabila membeli barang (buku, alat tulis dan lain-lain) secara pukal di kampus.

Panduan 8 : Gunakan kad pelajar anda
Kad pelajar adalah salah satu intrumen yang sangat membantu dalam usaha anda menyimpan wang. Anda boleh menggunakannya untuk mendapatkan diskaun ketika menonton wayang, membeli buku, menaiki LRT, melayari Internet, bercuti, makan, bersukan dan sebagainya. Bayangkan penjimatan yang anda dapat!

Panduan 9 : Gunakan pengangkutan awam
Menggunakan pengangkutan awam biasanya melibatkan kos yang lebih rendah berbanding memandu kereta. Jika kurang minat menaiki pengangkutan awam, kongsi kereta bersama rakan-rakan! Fikirkan juga tentang membeli motosikal atau basikal supaya boleh menjimatkan wang untuk petrol. Sentiasa merangcangperjalana mengikut jadual dan keperluan sahaja. Sebagai contoh, jika destinasi yang dituju tidak jauh dan cuaca mengizinkan, apa salahnya jika berjalan kaki berbanding memandu kereta?

Panduan 10 : Gunakan Internet untuk membuat panggilan
Daripada menghabiskan wang untuk menambah nilai telefon bimbit, apa kata anda membuat panggilan melalui internet? Anda bukan sahaja dapat berbual sepuas-puasnya, malah tidak perlu membayar walau sesen pun (jika mengunjungi "wi-fi hotspot" percuma). Sekiranya terdesak atau terpaksa menggunakan telefon bimbit, jangan lupa bahawa lebih murah untuk menghantar mesej (SMS) berbanding membuat panggilan.


Kesimpulannya, kehidupan di kolej atau university bukanlah sekadar mentelaah pelajaran semata-mata. Selaku pelajar, anda juga akan menerokai pelbagai aspek kehidupan dan akan menempuh pelbagai pengalaman yang mampu mencorak kehidupan anda kelak. Anda semestinya tidak mahu masalah berkaitan kewangan menjadi isu yang membebankan anda di kampus. Dengan mempraktikkan "10 Panduan" yang diberikan, anda sepatutnya boleh menikmati kehidupan kampus yang bebas daripada tekanan, seronok, dan mengujakan! - Securities Industry Development Corporation 2010.





Penulis suka berkongsi informasi bermanfaat kepada semua pembaca budiman. Seorang usahawan internet separuh masa yang mengimpikan kehidupan yang bebas dari hutang. Semoga maklumat dalam blog ini memberi manfaat kepada anda. Sila LIKE dan SHARE sekiranya informasi blog ini membantu anda. Terima kasih.

Comments


EmoticonEmoticon