Saturday 12 January 2013

Kepentingan Mengamalkan Sikap Menabung

Ramai dikalangan mereka yang baru memulakan pekerjaan menghadapi masalah untuk menyimpan wang. Gaji setiap bulan habis dibelanjakan tanpa mengetahui di mana wang telah dibelanjakan. Bila dicongak lepas bayar rumah sewa, bil handphone, beri pada mak dan abah dan sebagainya, ia habis bila sampai hujung bulan. Ia juga terjadi pada diri saya ketika saya mula-mula memulakan pekerjaan pada tahun 1999.

Kesedaran mula timbul untuk mula menabung dan mula menyimpan secara potongan gaji setelah mendapat nasihat daripada mak saya dan ia saya lakukan selepas saya bekerja selama 4 tahun. Ia satu jangka masa yang agak lama sebenarnya. Mak saya berpesan tak kisahlah berapa banyak wang yang akan disimpan sebulan, janji kita ada membuat menyimpan. Pakar kewangan mengesyorkan agar menyimpan 10% daripada hasil pendapatan bulanan kita secara tetap sebelum kita mencongak untuk perbelanjaan dan bayaran lain.

Alhamdulillah berkat nasihat dari mak saya, simpanan semakin bertambah hasil dari potogan gaji tu. Yelah...tanpa disedari wang kita secara automatik bertambah dari bulan ke bulan. Jika anda seorang usahawan separuh masa ataupun sepenuh masa lagi lah perlu secara istiqamah mengamalkan sikap menyimpan wang hasil daripada keuntungan perniagaan anda. Saya cadangkan anda buka akaun simpanan berlainan antara gaji anda dan keuntungan perniagaan anda. Itu satu tips tak seberapa dari saya.

Baiklah...untuk post kali ini saya ingin kongsikan kepada anda kepentingan mengamalkan sikap menabung. Manalah tahu ia akan mengubah persepsi anda dan mula membuka minda anda untuk mula menyimpan wang demi masa depan yang baik.




Kepentingan Menyimpan Wang

1) Demi masa depan
Kita sering mendengar nasihat ini " ....menabunglah demi masa depan". Tanpa kita sedari sebenarnya ramai dikalangan mereka yang telah pencen dari makan gaji merasa menyesal kerana pada usia muda tidak melakukan simpanan wang untuk masa depan. Mungkin bagi yang masih merasakan diri masih muda tidak nampak kelebihan menyimpan wang tetapi ia akan nampak kepentingannya selepas 20-30 tahun dari sekarang. Anda bagaimana ?

2) Meningkatkan pendapatan
Hasil dari simpanan kita di badan kewangan yang menawarkan dividen seperti ASB, Unit Trust dan seumpamanya sebenarnya memberi peluang untuk anda fahami ia bukan sekadar menyimpan. Bayangkan jika anda congak hasil simpanan anda setahun, andaikanlah RM1200 setahun maka keuntungan simpanan untuk dividen tahunan sebanyak 2% pun dah cukup menguntungkan iaitu sebanyak  RM24 setahun. Jika sampai 20 tahun anda tetap menyimpan secara tetap sebanyak RM100 sebulan, keuntungan simpanan anda telah bertambah sehingga RM480 menjadikan jumlah simpanan anda sebanyak RM24480. Terujakah anda ?

3) Sikap jimat cermat
Anda insyaallah bakal menjadi seorang yang penjimat. Penjimat di sini bukanlah sampai tahap kedekut sehingga perbelanjaan harian menjadi masalah. Jangan sampai orang menggelarkan sebagai bakhil lagi kedekut. Macammana tu ? Harap takdelah sampai macam tu yer. Ameeennnn...

4) Kecemasan
Sebagai manusia kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku di masa depan melainkan Allah. Kita tidak tahu bila masa kita, kedua orang tua kita (bagi yang masih ada), keluarga dan adik beradik akan ditimpa musibah. Tak mungkin pada masa tu kita akan meminjam dari rakan-rakan kita. Dah tentu mereka akan anggap kita ni 'pokai' kan walaupun sama-sama bekerja. Masa nilah kita akan tahu kepentingan menyimpan.

5) Modal perniagaan
Sampai satu tahap umur mengikut kajian iaitu pada umur 40 tahun kebiasannya mereka yang makan gaji akan mula berfikir untuk memulakan perniagaan sendiri untuk lari daripada makan gaji. Pada masa ini jika kita telah melakukan simpanan pada awalnya maka ia memudahkan kita untuk membuat pelaburan dalam bidang perniagaan pula.

6) Memiliki aset hartanah
Jika anda berhasrat untuk memiliki aset hartanah seperti rumah, ia memerlukan modal yang agak besar sebagai permulaan. Wang pendahuluan dan kos guaman agak tinggi perlu disediakan. Jika anda dapat membuat bayaran tersebut tanpa menggunakan KWSP melainkan anda menggunakan wang simpanan semata-mata pasti ia satu kelebihan buat diri anda berbanding dengan yang lain.

7) Pendidikan anak-anak dan hiburan
Kerajaan telah sediakan satu tabungan untuk pendidikan anak-anak seperti SSPN kepada rakyat. Pendidikan adalah paling penting untuk sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagil untuk masa depan anak-anak. Ibu bapa mana yang tak ingin memberi satu pendidikan yang terbaik kepada anak-anak mereka kan.

Dari segi hiburan pula saya cadangkan anda tetapkan simpanan untuk melancong di mana anda boleh berbincang dengan isteri anda untuk wujudkan satu akaun simpanan khas untuk pelancongan keluarga. Persetujuan kedua-dua pihak amat penting bagi merealisasikannya terutama bagi suami isteri yang bekerja. Pasti keseronokan akan terhasil demi kebahagiana keluarga khasnya.

Kesimpulannya, setiap hasil yang kita perolehi hendaklah kita 'tanam' azam untuk menyimpan dan mula lakukan ia secara istiqamah. Buat permulaan mungkin ia agak sukar untuk dilakukan dan dengan sedikit pendedahan dan ilmu tentang kewangan pasti ia bakal merubah objektif anda untuk menukar tabiat boros kepada tabiat menyimpan.

Masih ingatkah anda dengan perkataan ini " Sikit-sikit lama-lama jadi bukit" ?

Sekian. Terima kasih.

Penulis suka berkongsi informasi bermanfaat kepada semua pembaca budiman. Seorang usahawan internet separuh masa yang mengimpikan kehidupan yang bebas dari hutang. Semoga maklumat dalam blog ini memberi manfaat kepada anda. Sila LIKE dan SHARE sekiranya informasi blog ini membantu anda. Terima kasih.

Comments


EmoticonEmoticon