Tuesday 29 November 2011

Nilai Emas : Apabila Telah Balik Ke Asal...Emas Tetap Menjadi Pilihan.


Siapa sangka apabila aqal manusia yang mencipta wang dari sekeping kertas untuk dinilai pada angka kini menjadikan ia jatuh dan naik dengan tidak menentu. Corak kehidupan manusia boleh berubah hanya dengan kertas-kertas ini. Bukan nilai wang itu yang penting untuk dibicarakan di sini tetapi adalah tipu helah yang dimainkan oleh puak kapitalis.

Siapa yang menjadi mangsa ?? Baiklahhh....

Kali ini saya ingin kongsikan satu video untuk muhasabah diri kita bersama. Akhirnya manusia kembali kepada barangan komoditi seperti emas, perak dan lain-lain sebagai perantara urusan jual beli. Video rencana khas yang dirakam dari negara Zimbabwe menunjukkan bagaimana susahnya kehidupan mereka dan sekali lagi peranan kapitalis mengaut keuntungan dari harga produk komoditi ini.

Mari sama-sama kita saksikan.






Wednesday 16 November 2011

Cara Mengelak Berbelanja Mengikut Hati

Salam hormat ;

Sila jawab soalan di bawah ini sejujurnya :

  1. Pernahkah pasangan ataupun rakan kongsi anda komplen bahawa anda berbelanja terlalu banyak ?
  2. Pernahkah anda menerima bil kad kredit dan anda terkejut kerana ia melebihi apa yang anda sangkakan ?
  3. Pernahkah anda melihat di dalam almari baju anda terdapat banyak kasut dan baju yang masih banyak lagi yang belum dipakai ?
  4. Pernahkah anda membeli sesuatu yang tidak dirancang tetapi setelah ke sesebuah kedai anda boleh terbeli dek kerana paparan barang di kedai itu sendiri ?
  5. Pernahkah anda mempunyai tabiat membeli gadget yang terbaru sehinggakan belum pun sempat gadget2 di kedai sempat berhabuk ( laku macam pisang gorenglah katakan ) ?

Jika semua jawapan bagi soalan-soalan di atas adalah "YA", ia boleh dikategorikan perbelanjaan mengikut gerak hati ataupun nafsu.

Ini bukan satu perkara yang baik sebenarnya. Ia akan mencegah anda daripada menyimpan wang untuk perkara-perkara yang lebih penting seperti rumah, kereta baru, percutian dan skim persaraan. Anda perlu menetapkan matlamat kewangan dan cuba elakkan berbelanja sesuatu perkara yang bukan untuk jangka masa panjang.

Berbelanja mengikut hati bukan sahaja memberi masalah kepada kewangan, malah ikatan perhubungan juga bakal menjadi renggang. Untuk mengatasi masalah ini, perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah memisahkan perbelanjaan antara keperluan dan kemahuan.

Apabila anda ingin membeli-belah, cuba buat perancangan dengan menyediakan senarai barangan yang ingin dibeli dan bawa lah wang tunai yang mencukupi. Saya nasihatkan tinggalkan kad kredit anda di rumah.

Jika anda melihat sesuatu yang benar-benar perlu, berikan tempoh dua minggu untuk menentukan ia adalah sesuatu yang sangat diperlukan. Dengan cara ini ia akan dapat memperbaiki kewangan anda dan seterusnya hubungan anda.

Semoga perkongsian yang ringkas ini sedikit sebanyak membantu anda. Terima kasih.





Tuesday 1 November 2011

Permainan "Kutu" vs Syariah + Undang-Undang





Permainan "Kutu" ? Siapa yang tak pernah dengar kan. Saya sendiri pun pernah beberapa kali bermain permainan kutu. Terfikir jugak kenapa pulak dinamakan kutu. Kalau nak diikutkan pada maksud kutu tu sendiri adalah sejenis parasit penghisap darah yang biasanya hidup di bahagian kepala. Takkan permainan kutu ni macam "penghisap darah" pula kan.

Apa yang saya nak kongsikan pada post kali ini adalah mengenai hukum dan adakah ia sah dari segi undang-undang negara Malaysia. Kebanyakan daripada kita mungkin tak ambil kisah mengenainya. Saya bukanlah insan yang berhak untuk bercerita mengenai hukum permainan "kutu" dari segi syariah. Apa yang dikongsikan nanti adalah pandangan dari pakar dalam bidang kewangan mengikut syariah. Siapa yang kenal dengan UZAR ataupun Ustaz Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman.

Ada persoalan yang dibincangkan daripada seseorang yang musykil mengenai permainan "kutu". Soalannya adalah seperti berikut :

" Ustaz, saya nak tanya tentang permainan kutu. sekali pandang nampak halal. ok begini. Pekerja office saya ada membuat "main kutu". satu kepala atau seorang RM100 seramai 11 orang jadinya setiap orang akan dapat 1100 (100 duit sendiri) tiap bulan. Yang jadi masalahnya tiap bulan cabutan akan dibuat, siapa dapat happy la..Saya melihat disini ia ada unsur judi, sebab sebelum cabutan-cabutan mengharap nasibnya akan kena, jadi saya fikir kalau dibuat cabutan number giliran yang dah tetap siapa yang dapat tiap bulan sebagai contah mamat bulan jan, abu feb, ali mac dan seterusnya itu adalah harus.Saya harap sangat komen ustaz. namun jika pendapat saya tu betul alhamdullilah, ini bermakna saya faham setelah membaca buku uzar tulis."

Inilah jawapan dari UZAR :

1) Penerangan Hukum Dari Sudut Undang-undang Malaysia

Mengikut tafsiran AKTA 28 AKTA (LARANGAN) KUMPULAN WANG KUTU 1971 mengenai 'kutu' adalah sebagai :

"kumpulan wang kutu" ertinya rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama sepeti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine atau sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine

Jika diteliti akta ini, jelas termaktub seperti berikut :-

Seksyen 3. Salah di sisi undang-undang menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu.

Maka adalah salah di sisi undang-undang bagi sesiapa menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu dan seseorang yang menjalankan perniagaan itu adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Kesimpulannya di sini dan dah memang terang lagi bersuluh bahawa skim simpanan kutu ini adalah salah dan tidak dibenarkan di sisi undang-undang.

2) Tinjauan Dari Sudut Syariah

Ini adalah jawapan dari UZAR :

Untuk menentukan hukum Shariah adalah amat mudah dalam hal yang telah diputuskan 'salah' oleh undang-undang negara. Selagi mana peruntukan undang-undang itu tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Al-hadis, ia akan diiktiraf sebagai haram juga di sisi Shariah.

Namun jika anda ingin memahaminya skim kutu ini dari sudut proses dan caranya , sama ada ia diterima oleh Shariah atau tidak. Setakat info yang diberikan dan juga menurut pengetahuan saya berkenaan skim 'kutu' ini, secara dasarnya saya lihat urus aturan 'kutu' ini adalah harus. ( Namun keharusan ini telah dibataskan oleh akta wang kutu di atas tadi)

Ini adalah kerana sebenarnya wang diperolehi oleh seseorang itu hanyalah wangnya sendiri yang terkumpul pada masa akan datang, cumanya keistimewaannya apabila tiba gilirannya maka sebagai ahli dia akan dapat menggunakannya secara 'in advance' disebabkan sumbangan wang dari semua ahli kumpulan. Pembayaran 'In advance' ini dari sudut Islam dilihat sebagai pinjaman tanpa faedah dari semua ahli kumpulan.

Bermakna, setiap bulan semua ahli kumpulan akan menyumbangkan pinjaman yang mana wang pinjamannya itu akan kembali padanya apabila tiba gilirannya.

Namun demi memastikannya halal, perlulah memastikan semua ahli kumpulan boleh dipercayai, dikenali dan membuat aqad bertulis bagi protect kemaslahatan semua. Tanpanya, permainan terdedah kepada penipuan dan gharar.

Bayangkan zaman hari ini, orang yang nampak baik pun liat nak bayar hutang.

Kesimpulannya, skim 'kutu' antara sesama rakan yang dipercayai dalam jumlah yang terhad dan munasabah serta bertulis adalah harus disebabkan ia hanyalah aktiviti pinjam meminjam.

Aktiviti saling memberi pinjam dengan nilai dan jumlah yang sama adalah harus. Antara hujjah saya adalah seperti berikut :-

Pertama : Keharusan kaedah :-

أسلفني وأسلفك

Ertinya : "Kamu pinjamkan kepadaku nescaya aku juga akan meminjamkan kepadamu kelak" (Mawahibul Jalil, Al-Hattab, 4/395)

Menurut mazhab Maliki, konsep ini dianggap makruh apabila ia memberikan manfaat kepada yang pemberi hutang lalu ia haram, tetapi jika manfaat diperolehi oleh peminjam ia adalah harus.

Namun dalam bab ini kedua-dua pihak mendapat manfaat yang sama rata. Justeru ia sewajarnya diharuskan. Inilah yang diperolehi dari skim 'kutu' ini.

Kedua : Tidak termasuk dalam bentuk faedah yang dilarang.

Kebanyakkan ulama berpendapat bahawa tindakan ini adalah harus di sisi Syariah atas sebab ia tidak termasuk dalam pinjaman dengan faedah yang dilarang oleh Shariah. Jumlah dan tempoh pinjaman juga adalah serupa. Ini menjadikannya tiada sebarang lebihan manfaat yang boleh menjadikannya haram.

Manakala syarat untuk memberi pinjam semula tadi, jikapun ia dianggap sebagai satu manfaat namun ia adalah manfaat yang sama kepada dua-dua pihak dan bukan hanya satu pihak yang boleh membawa penindasan. Ia juga boleh dilihat dalam isu ‘Suftajah'. Demikian menurut pendapat Ibn Qudamah, Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim. Malah diperjelaskan lagi oleh Prof. Dr Nazih Hammad  (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 230)

Ketiga : Riba diharamkan disebabkan kerana zalim yang berlaku ke atas satu pihak.

Namun di dalam hal ni tiada sebarang kezaliman berlaku kerana kedua-duanya mendapat jumlah, dan tempoh yang sama, cuma di waktu yang berbeza sahaja.

Ibn Qayyim berkata :-

والشارع نهي عن الربا لما فيه من الظلم

Ertinya : "Shariah melarang riba disebabkan kerana kezaliman yang terdapat padanya" ('I'lam al-Muwaqqi'en, 1/386)

Adapun persepakatan dalam pinjaman berbalas dengan jumlah dan tempoh sama ini tiada terkandung di dalamnya sebarang zalim kepada mana-mana pihak. (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 231)

Perihal Cabutan Untuk Menentukan Giliran

Tepat sekali, permainan 'kutu' akan menjadi semakin bersih dan baik jika giliran telah ditentukan dari awal agar semua pihak tidak tertunggu-tunggu.

Namun, setakat pengamatan saya berdasarkan perbincangan para ulama berkenaan asas 'undian' atau disebut dalam bahasa 'Arab sebagai Qur'ah boleh dilakukan apabila semua pihak mempunyai hak yang sama untuk terpilih. Hukumnya adalah harus dan tiada unsur judi di situ. Nabi Muhammad SAW juga pernah mencabut undi untuk melihat siapa dari kalangan isterinya yang akan terpilih untuk bermusafir bersama baginda SAW.


Kesimpulan daripada kedua-dua hukum ini.

Jika dilihat dari sudut proses dan perjalanan skim kutu ini semata-mata, ia adalah harus menurut pandangan Islam, namun diwaktu wujudnya akta rasmi yang melarang. Ia secara rasminya dianggap haram dari sudut hukum Islam atas dasar "kewajiban taat kepada pemerintah dalam hal yang tidak berkait dengan maksiat dan demi kemaslahatan umum yang dilihat oleh pemerintah".



Saya harap dengan informasi ini kita dapat berfikir untuk meletakkan diantara yang hak dan juga bathil.